Friday, May 31, 2013

JADUAL AKTIVITI PROGRAM UMRAH RAMADHAN NURSALAM




JADUAL AKTIVITI UMRAH RAMADHAN NURSALAM
( SATU – SATUNYA DI MALAYSIA )


06 JULAI : HARI 01 : KUALA LUMPUR – JEDDAH – MADINAH

Semua Jemaah diminta berada di KLIA balai berlepas 4 jam sebelum waktu berlepas. Urusan daftar masuk pesawat akan dibantu oleh kakitangan kami. Setibanya di Lapangan Terbang Jeddah jemaah akan disambut oleh wakil kami dan dibawa menaiki bas untuk meneruskan perjalanan ke Madinah,. Tiba di hotel Madinah, daftar masuk hotel dan berehat.

07 JULAI : HARI 02 : MADINAH ( ZIARAH DALAM )

Selepas sarapan pagi, jemaah akan dibawa ke Masjid Nabawi dengan menziarahi Maqam Rasulullah dan para sahabat, Raudhah dan Perkuburan Baqi’. Selesai ziarah, jemaah bebas untuk beribadat di Masjid Nabawi, sabda Rasulullah s.a.w :
“Pahala sembahyang di Masjidku ini adalah seribu kali lebih baik daripada sembahyang di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram”

08 JULAI : HARI 03 : MADINAH ( ZIARAH LUAR )


Selepas sarapan pagi, para jemaah akan dibawa menziarahi KOTA MADINAH dengan diiringi oleh Mutawwif. Tempat-tempat lawatan adalah Masjid Quba’, Jabal Uhud, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh (Medan Perang Khandak). Selesai ziarah, jemaah bebas beribadat di Masjid Nabawi.

09 JULAI : HARI 04 : MADINAH ( ZIARAH LUAR )

Jemaah akan dibawa melawat Masjid Bilal Bin Rabah , Ladang kurma Bani Hashim dan Muzium Madinah ( tertakluk kepada keizinana pihak berkuasa ). Pada malamnya beribadah di Masjid Nabawi untuk menyambut Ramadhan Al Mubarak.

10 JULAI : HARI 05 : MADINAH (RAMADHAN)


jemaah melakukan ibadah bebas dan menziarahi Makam Rasulullah sekali lagi. Pada malamnya Jemaah akan mendengar kuliah & Tazkirah daripada Syeikh Firdaus At Taibun. Kemudiannya diikuti dengan aktiviti Qiamullail

ZIARAH PILIHAN DI MADINAH
Penemuan baru - Masjid Tikar, Gua Uhud dan Lapangan Magnet.

11 JULAI : HARI 06 : MADINAH – MAKKAH (RAMADHAN)


Para jemaah akan di bawa berangkat ke MAKKAH AL-MUKARRAMAH. Di dalam perjalanan singgah sebentar di MASJID BIR-ALI untuk solat sunat ihram dan bermiqat umrah. Sampai di MAKKAH, para jemaah akan dibawa ke hotel dan kemudiannya dibawa oleh Mutawwif ke BAITULLAH untuk menyempurnakan ibadah Umrah yang pertama. Mutawwif akan memandu dan memberi penerangan tentang cara-cara mengerjakan Tawaf, Sa’ie dan Tahallul. Jemaah akan berbuka puasa di Masjidil Haram.

12 JULAI : HARI 07 : MAKKAH (RAMADHAN)

Paginya para jemaah akan dibawa menziarahi KOTA MAKKAH. Tempat-tempat lawatan adalah JABAL THUR, PADANG ARAFAH, JABAL RAHMAH, MUZDALIFAH, MINA JAMAARAT, JABAL NOOR, GUA HIRA’ dan akhirnya bermiqat di JA’ARANAH. Para jemaah dinasihatkan mandi sunat ihram dan memakai ihram di hotel. Balik ke Baitullah untuk menyelesaikan umrah. Jemaah akan berbuka puasa di Masjidil Haram. Pada malamnya di ikuti dengan Tazkirah, kuliah dan Qiamullail di Masjidi Haram.

13 JULAI : HARI 08 : MAKKAH (RAMADHAN)

Selesai Ibadah bebas. Jemaah dibawa menziarahi dan mengikuti Tazkirah oleh Ahlul bait (keturunan Rasulullah) di Rasaifah Iaitu SAYYID AHMAD BIN MUHAMMAD BIN ALAWI AL MALIKI AL HASSANI beliau merupakan anak kepada Ulama Besar MAKKAH AL MUKARRAMAH iaitu SAYYID MUHAMMAD BIN ALAWI AL MALIKI AL HASSANI. jika berkesempatan jemaah juga akan berbuka puasa di sana. (Moga kita mendapat keberkatan Doa disamping mereka).

14 JULAI : HARI 09 : MAKKAH (RAMADHAN)

Jemaah akan dibawa melawat Muzium Kaabah, (tertakluk kepada keizinan pihak berkuasa) Ladang Ternakan & Penyembelihan Unta serta bermiqat di Hudaibiyah. Jemaah akan berbuka puasa di Masjidil Haram. Pada malamnya di ikuti dengan Tazkirah, kuliah dan Qiamullail di Masjidi Haram.


15 JULAI : HARI 10 : MAKKAH (RAMADHAN)

Selesai Ibadah bebas. Jemaah dibawa menziarahi Ahlul bait (keturunan Rasulullah) SAYYID ABBAS BIN ALAWI AL MALIKI AL HASSANI beliau merupakan saudara kepada Ulama Besar MAKKAH AL MUKARRAMAH iaitu SAYYID MUHAMMAD BIN ALAWI AL MALIKI AL HASSANI. jika berkesempatan jemaah juga akan berbuka puasa di sana. (Moga kita mendapat keberkatan Doa disamping mereka).

16 JULAI : HARI 11 : MAKKAH (RAMADHAN)

Jemaah di bawa menziarahi Kilang Membuat Kain Kiswah Kaabah dan Tempat Perlaksanaan Hukum Hudud di Tanaeem. (tertakluk kepada keizinan pihak berkuasa). Jemaah akan berbuka puasa di Masjidil Haram. Pada malamnya di ikuti dengan Tazkirah, kuliah dan Qiamullail di Masjidi Haram.

17 JULAI : HARI 12 : MAKKAH (RAMADHAN)

Jemaah bebas untuk memperbanyakkan ibadah Umrah dan beribadah di Masjidil Haram. Selepas itu, Jemaah dibawa menziarahi MUADZIN MASJIDIL HARAM iaitu SHEIKH ALI ABDUL RAHMAN AHMED MULLA. beliau merupakan muadzin yang paling lama berkhidmat di Masjidil Haram. (Moga kita mendapat keberkatan Doa disamping mereka).

18 JULAI : HARI 13 : MAKKAH (RAMADHAN)


Jemaah dibawa melawat Pusat Pengajian Pondok (serta mendengar tazkirah ilmu daripada guru – guru Pondok) dan Rumah Kelahiran Rasulullah di Ajiad, Mekkah. Jemaah akan berbuka puasa di Masjidil Haram. Pada malamnya di ikuti dengan Tazkirah, kuliah dan Qiamullail di Masjidi Haram.

19 JULAI : HARI 14 : MAKKAH – JEDDAH (RAMADHAN)


Melakukan Tawaf Wida’ sebelum bertolak ke Jeddah untuk meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur dan jemaah di bawa Melawat Masjid Terapung di Jeddah.

20 JULAI : HARI 15 : JEDDAH – KUALA LUMPUR (RAMADHAN)

Dijangka sampai di Kuala Lumpur


NOTA:
1. TARIKH, HARGA & ATURCARA tertakluk kepada pindaan pihak airline, hotel & kedutaan.
HARGA PAKEJ TERMASUK:
• Tiket kapalterbang kelas ekonomi.
• Cukai dan insuran Lapangan terbang.
• Pengangkutan darat (seperti aturcara).
• Makan & minum 3 kali sehari (sepanjang aturcara).
• Lawatan seperti aturcara.
• Perkhidmatan Mutawwif.
• 10 Liter Air Zam-Zam.
• 1 bag dan luggage tag.
• Penginapan 3 atau 4 orang sebilik

HARGA PAKEJ TIDAK TERMASUK:
• Apa-apa perbelanjaan yang tidak terdapat di atas.
• Tips untuk pemandu pelancong dan pemandu.
• Lebihan bagasi.
• Perbelanjaan peribadi seperti telefon, dobi dan sebagainya.
• Insuran pengembaraan .



Wednesday, May 1, 2013

KURSUS PERAWATAN ISLAM BERSANAD Tahap 1 ( Fundamental) siri 1/2013

Assalamualaikum... muslimin dan muslimat. Untuk makluman semua, pengambilan peserta untuk KURSUS PERAWATAN ISLAM BERSANAD Tahap 1 ( Fundamental) siri 1/2013 telah dibuka. Pendaftaran boleh dilakukan di Pusat Rawatan Islam Nursalam Al Maliki no telefon 04-4400681 / 0174787957.



Wednesday, April 24, 2013

LAPORAN KEM IBADAH MUTHMAINAH SMK AMAN JAYA SG PETANI KEDAH 19 - 21 APRIL 2013



Pada 19 april hingga 21 april 2013,bertempat di SMK AMAN JAYA SG PETANI KEDAH, Unit Tarbiyah dan dakwah ‘Pusat Rawatan Islam NurSalam Al Maliki yang diketuai oleh Habib Mohd Firdaus At Taibun Al Makki dan Saudara Mohd Aizam At Taibun ( Adam AF) bersama Panitia Agama Islam SMK AMAN JAYA telah menganjurkan program Khemah Ibadah Pemantapan Hati Muthmainah. Bertemakan “Merahmati hati Rabbani”, Bermula dengan para pelajar membacakan ikrar Kem sambil disaksikan oleh para fasilitator, program ini dianjurkan dengan matlamat memantapkan pelajar - pelajar terhadap asas-asas ajaran Islam dengan penglibatan ADAM AF sebagai ikon dan ikutan kepada pelajar - pelajar.

Program khemah ibadah ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan di SMK AMAN JAYA dengan penglibatan seramai 103 orang pelajar . penglibatan secara langsung keseluruhan Unit Tarbiyah & Dakwah NurSalam dan Panitia Agama Islam Sekolah dalam program ini telah menyuntik semangat cintai islam yang tinggi di kalangan pelajar.

Program selama 3 hari ini diisi dengan pelbagai aktiviti yang merangkumi Qasidah, kerohanian, fizikal dan minda dalam mencapai objektif melahirkan anak-anak yang soleh. Peserta telah dibahagikan kepada 7 kumpulan iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Hambali, Maliki dan Syafie bersempena nama khalifah Islam dan Imam yang Muktabar.

Didalam khemah ibadah ini pelajar – pelajar diberi penerapan Cinta Allah, Cinta Rasul, Cinta Ibubapa dan Cinta Al-Quran. Dalam mencapai objektif program ini, kuliah-kuliah, tips anak soleh dan beberapa pengisian telah diadakan. LDK susulan selepas kuliah diadakan untuk memantapkan lagi pemahaman peserta melalui modul-modul dan praktikal. Manakala sesi bengkel memberikan peluang kepada peserta untuk meneroka diri mereka sendiri.

Pada malamnya turut diisi dengan pelbagai aktiviti yang menarik dengan diketuai oleh Habib Mohd Firdaus At Taibun Al Makki dan Saudara Mohd Aizam At Taibun ( Adam AF) seperti persembahan Qasidah di Malam Kesenian Islam yang menampilkan kreativiti peserta dalam latihan Qasidah. Kemuncak pada program ini ialah pada malam muhasabah ibu ayah ” Hari-hari yang Terindah”. Malam muhasabah yang dikendalikan oleh saudara Mohammad Adha dan Saudara Rodzie dengan fasilitator dan gimik kematian berjaya menyentuh hati peserta. Peserta telah diminta untuk bercita - cita untuk berubah menjadi anak yang soleh kepada ibu bapa masing – masing.

Majlis penutup diakhiri dengan penyampaian hadiah peserta terbaik diikuti slot ceramah motivasi oleh Habib Mohd Firdaus At Taibun Al Makki dan Kata- kata nasihat yang menarik daripada Saudara Mohd Aizam At Taibun (Adam AF) ditutup dengan rasminya dengan ucapan oleh Pengetua SMK Aman Jaya Encik Abd Halim Md Noh diiringi Persembahan Penutup Qasidah Oleh pelajar-pelajar SMK Aman Jaya dan laungan takbir.





 
 




Friday, March 29, 2013

10 adab dalam menuntut ilmu - panduan dari Imam al-Ghazali

Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.

Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).

Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.

Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).

Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.

Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.

Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.

Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.

Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.

Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.

Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.

Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:

“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)

Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.

Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.

Read more: http://www.ahmad-sanusi-husain.com/2012/01/10-adab-dalam-menuntut-ilmu-panduan.html#ixzz2OzlYJinI

Saturday, March 23, 2013

Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki

Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki ialah salah seorang ulama yang paling dihormati dan dicintai di kota suci Makkah.
Beliau merupakan keturunan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, penghulu Ahlil Bait, Imam Hadis di zaman kita, pemimpin keempat-empat mazhab, ketua rohani yang paling berkaliber, pendakwah ke jalan Allah, seorang yang tidak goyah dengan pegangannya di dunia ilmiah Islam turath. Menziarahi beliau merupakan suatu kemestian kepada para ulama yang menziarahi Makkah.

Keturunan Sayyid merupakan keturunan mulia yang bersambung secara langsung dengan Junjungan kita Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri. Beliau merupakan waris keluarga Al-Maliki Al-Hasani di Makkah yang masyhur yang merupakan keturunan Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasallam, melalui cucu Baginda, Imam Al-Hasan bin Ali, Radhiyallahu ‘Anhum.

Keluarga Maliki merupakan salah satu keluarga yang paling dihormati di Makkah dan telah melahirkan alim ulamak besar di Makkah, yang telah mengajar di Makkah berkurun lama.
Lima orang dari keturunan Sayyid Muhammad, telah menjadi Imam Mazhab Maliki di Haram Makkah. Datuk beliau, Al-Sayyid Abbas Al-Maliki, merupakan Mufti dan Qadhi Makkah dan khatib di Masjidil Haram. Beliau memegang jawatan ini ketika pemerintahan Uthmaniah serta Hashimiah, dan seterusnya terus memegang jawatan tersebut setelah Kerajaan Saudi diasaskan. Raja Abdul Aziz bin Sa’ud sangat menghormati beliau. Riwayat lanjut beliau boleh dirujuk pada kitab Nur An-Nibras fi Asanid Al-Jadd As-Sayyid Abbas oleh cucunya As-Sayyid Muhammad Al-Maliki.

Ketika berumur 15 tahun lagi, As-Sayyid Muhammad telah mengajar kitab-kitab Hadith dan Feqh di Masjidil Haram, kepada pelajar-pelajar lain, dengan arahan guru-gurunya. Setelah mempelajari ilmu turath di tanah kelahirannya Makkah, beliau dihantar oleh bapanya untuk menuntut di Universiti Al-Azhar As-Syarif. Beliau menerima ijazah PhD daripada Al-Azhar ketika berusia 25 tahun, menjadikan beliau warga Arab Saudi yang pertama dan termuda menerima ijazah PhD dari Al-Azhar. Tesis beliau berkenaan Hadith telah diiktiraf cemerlang dan menerima pujian yang tinggi dari alim ulamak unggul di Al-Azhar ketika itu, seperti Imam Abu Zahrah.

Beliau telah meninggalkan kita pada hari Jumaat, 15 Ramadhan1425 bersamaan 29 Oktober 2004 ketika berusia 60 tahun (bersesuaian dengan doanya untuk meninggal dunia pada bulan Ramadhan), dalam keadaan berpuasa di rumahnya di Makkah. Kematiannya amat mengejutkan.

Benar, ia adalah satu kehilangan yang besar. Ucapan takziah diucapkan dari seluruh dunia Islam. Solat jenazah beliau dilakukan di seluruh pelusuk dunia. beliau diimamkan oleh adiknya As-Sayyid Abbas, dan seterusnya di Masjidil Haram dengan Imam Subayl)


Kunjungan Jemaah Umrah Nursalam ke Kediaman Sayyid Abbas bin Alawi Al-Maliki (keturunan Rasulullah)

Sayyid Abbas bin Alawi Al-Maliki lahir di kota suci Mekkah Al-Mukarromah pada tahun 1368 H

nama lengkap beliau adalah Syeikh Sayyid Abbas bin Sayyid Alawi bin Sayyid Abbas bin Sayyid Abdul Aziz al-Maliki al-Idris al-Hasani al-Makki, terlahir dan dibesarkan oleh seorang ayah yang alim dan mulia pemimpin Ahli Bait di kota Mekkah, pembesar Bait Alawi yang disegani oleh pemerintah dan semua orang, pengajar di Masjidil Haram dan ulama besar yang dikagumi oleh masyarakat Mekkah ketika itu, tidak heran jika sifat-sifat orang tuanya turun kepada Sayyid Abbas dan saudara beliau Sayyid Muhammad al-Maliki.

Sayyid Abbas dikenal memiliki sifat tawadhu`, rendah hati, mudah senyum, suka membantu orang yang kesulitan, menghormati para tamu, dan mudah akrab. Tak hanya itu, suara beliau pun bagus dan indah hingga digelari sebagai Amir Qasidah di Mekkah sehingga orang-orang terpesona mendengar suaranya.

Beliau membangun pusat pendidikkan di Makkah al-Mukarramah, pelajarnya terdiri dari pelajar asrama yang datang dari nusantara dan pelajar luar asrama yang tinggal di kota Mekkah, majlis beliau juga dikenal dengan majlis Dalailul khairat dan majlis Burdah.

Beliau meriwayatkan hadits dari ayah beliau yaitu Sayyid Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Makki, dan saudara kandungnya Syeikh Sayyid Muhammad bin Alawi bin Abbas bin Abdul Aziz al-Maliki al-Idrisi al-Makki.