Segala puji
bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan
mulia Nabi Muhammad S.A.W keluarga serta para sahabat dan pengikut yang
istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sifat buruk sangka, bangga diri, ujub dan sombong adalah sifat-sifat mazmumah yang perlu kita jauhi. Tanpa kita sedari
bahawa apabila sifat-sifat ini telah bertapak dalam hati kita akan
menyebabkan hati kita berpenyakit dan akan merosakkan amalan kita kepada
Allah S.W.T.
Terdapat satu kisah seorang ulama sufi bernama Hassan al-Basri dengan seorang pemuda berdua-duaan dengan seorang wanita.
Suatu hari di tepi sungai Dajlah, Hassan al-Basri melihat seorang
pemuda duduk berdua-duaan dengan seorang wanita. Di sisi mereka terletak
sebotol arak. Lalu Hassan berbisik "Alangkah jahatnya orang itu dan
alangkah baiknya kalau dia seperti aku!"
Tiba-tiba Hassan
melihat sebuah perahu di tepi sungai yang sedang tenggelam. Lelaki yang
duduk di tepi sungai tadi segera terjun untuk menolong penumpang perahu
yang hampir lemas. Enam dari tujuh penumpang itu berjaya diselamatkan.
Kemudian dia berpaling ke arah Hassan al-Basri dan berkata, "Jika
engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah,
selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta
untuk menyelamatkan satu orang saja, sedang saya telah menyelamatkan
enam orang."
Bagaimanapun Hassan al-Basri gagal menyelamatkan
yang seorang itu. Maka lelaki itu bertanya padanya. "Tuan, sebenarnya
wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol
itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan."
Hassan al-Basri terpegun lalu berkata, "Kalau begitu, sebagaimana
engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke
dalam sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam
kebanggaan dan kesombongan."
Orang itu menjawab, "Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan."
Semenjak itu, Hassan al-Basri selalu merendahkan diri bahkan ia
menganggap dirinya sebagai makhluk yang tidak lebih daripada orang lain.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebagai pengajaran untuk di ambil sebagai iktibar kisah diatas, terdapat dua cara untuk mengatasinya.
1) Jangan berburuk sangka dengan orang lain serta memandang rendah
padanya. Apabila kita melihat orang lain membuat maksiat kepada Allah
jangan menghinanya atau reda dengan perbuatannya dan cuba mencari
aibnya. Berilah nasihat yang baik penuh hikmah. Anggaplah berkemugkinan
orang itu jahil tentang perbuatannya. Sebagai muhasabah diri sendiri
pula, kita patut malu pada diri sendiri yang dikurniakan oleh Allah
S.W.T ilmu ini tetapi masih juga melakukan perbuatan yang dilarang
oleh-Nya.
Buruk sangka kepada orang lain atau yang dalam bahasa
Arabnya disebut su' u zhan mungkin biasa atau bahkan sering hinggap di
hati kita. Lebih parahnya, terkadang persangkaan kita tiada mempunyai
asas dan tiada alasan yang benar. Memang semata-mata sifat kita suka
curiga dan penuh sangka kepada orang lain, lalu kita membiarkan zhan
tersebut bersemayam di dalam hati. Bahkan kita membicarakan serta
menyampaikannya kepada orang lain. Padahal su'u zhan kepada sesama kaum
muslimin tanpa ada bukti yang kukuh merupakan perkara yang terlarang.
2) Perkara yang patut kita ingat adalah tentang diri kita iaitu
perbuatan baik orang pada kita dan perbuatan jahat kita pada orang lain.
Perkara yang patut kita lupakan adalah kebaikan kita pada orang dan
kejahatan orang pada kita. Barulah hati kita akan menjadi bersih dan
terhindar daripada sifat bangga diri dan menghargai kebaikan orang lain.