Luqman Al-Hakim mengajar anaknya ilmu yang datang dari sisi Allah Yang
Maha Mengetahui. Beliau pernah berpesan dan menasihati anaknya:
.
1. “Wahai anak kesayanganku! Allah SWT memerhatikan dirimu dalam
kepekatan malam, semasa engkau bersolat atau tidur lena di belakang
tabir di dalam istana. Dirikan solat dan jangan engkau berasa ragu untuk melakukan perkara makruh dan melempar jauh segala kejahatan dan kekejian.”
2. “Wahai anakku! Selalulah berharap kepada Allah SWT tentang sesuatu
yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah SWT. Takutlah kepada
Allah SWT dengan sebenar-benar takut (takwa), tentulah engkau akan
terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah SWT.”
3.
“Wahai anak! janganlah engkau mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu
yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang
besar.”
4. “Wahai anakku, Bersyukurlah kepada Tuhanmu kerana
kurniaan-Nya. Orang yang mulia tidak mengingkari Penciptanya kecuali
orang yang kufur.”
5. “Wahai anakku! Bukanlah satu kebaikan
namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah
mengamalkannya. Hal itu tidak ubah seperti orang yang mencari kayu api,
maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu
menambahkannya.”
6. “Wahai anakku! Ketahuilah, sesungguhnya
dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke
dalamnya. Jika engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan
itu dengan sampan yang bernama TAKWA, isinya ialah IMAN dan Layarnya
adalah TAWAKKAL kepada Allah SWT.”
7. “Wahai anakku!
Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat,
maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah SWT. Orang yang insaf
dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, maka dia akan sentiasa
menerima kemulian dari Allah SWT juga.”
8. “Wahai anakku!
Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak
ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu
adalah sifat riya’ yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”
9. “Wahai anakku! Jangan engkau berjalan sombong serta takbur, Allah SWT tidak meredai orang yang sombong dan takbur.”
10. “Wahai anakku! Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu
serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi
sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang
berharga.”
11. “Wahai anakku! Bilamana engkau mahu mencari
kawan sejati, maka ujilah dia terlebih dahulu dengan berpura-pura
membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha
menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan.
Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”
12. “Wahai anakku!
Apabila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang
tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang
mengharapkan sesuatu darimu.”
13. “Wahai anakku! Sesesiapa
yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat
daripada berkata yang mengandungi racun dan sesiapa yang tidak dapat
menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.”
14.
“Wahai anakku! Bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu.
Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini
mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari
mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”
15. “Wahai anakku! Janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana
sesuatu yang menggelikan hati, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan
yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna
bagimu, dan janganlah mensia-siakanhartamu.”
16. “Wahai
anakku! Sekiranya kamu di dalam solat, jagalah hatimu, sekiranya kamu
makan, jagalah kerongkongmu, sekiranya kamu berada di rumah orang lain,
jagalah kedua matamu dan sekiranya kamu berada di kalangan manusia,
jagalah lidahmu.”
17. “Wahai anakku! Usahakanlah agar mulutmu
jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana
engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara,
berusahalah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.”
18. “Wahai anakku! Berdiam diri itu adalah hikmah (perbuatan yang bijak) sedangkan amat sedikit orang yang melakukannya.”
19. “Wahai anakku! Janganlah engkau menghantarkan orang yang tidak
cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya
dirimulah saja yang layak menjadi utusan.”
20. “Wahai anakku! Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.”
21. “Wahai anakku! Sesungguhnya orang bertalam dua muka bukan seorang yang jujur di sisi Allah SWT.”
22. “Wahai anakku! Jauhilah bersifat dusta, sebab berbohong itu mudah
dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja
berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.”
23. “Wahai anakku! Sesiapa yang berbohong hilanglah air mukanya dan sesiapa yang buruk akhlaknya banyaklah dukacitanya.”
24. “Wahai anakku! Bersabarlah di atas apa yang menimpa dirimu kerana
yang demikian itu menuntut kepastian kukuh daripadamu dalam setiap
kejadian dan urusan.”
25. “Wahai anakku! Apabila engkau
mempunyai dua pilihan di antara takziah orang mati atau hadir majlis
perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan
mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta
perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”
26. “Wahai anakku! Janganlah engkau makan sampai kenyang yang
berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah
lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.”
27. “Wahai anakku! Janganlah engkau terus menelan sahaja kerana
manisnya barang dan janganlah terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu
barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu
belum tentu menimbulkan kesengsaraan.”
28. “Wahai anakku! Aku
pernah makan makanan yang baik dan memeluk yang terbaik tetapi aku tidak
pernah melihat sesuatu yang lebih lazat daripada kesihatan.”
29. “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal
fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk
beribadat.”
30. “Wahai anakku! Apabila perutmu telah penuh
sesak dengan makanan, maka akan tidurlah fikiranmu, menjadi lemah
hikmahmu dan berhentilah (malas) seluruh anggota tubuhmu daripada
beribadat kepada Allah SWT dan hilanglah kebersihan hati (jiwa) dan
kehalusan pengertian, yang dengan sebab keduanyalah dapat diperoleh
lazatnya munajat dan berkesannya zikir pada jiwa.”
31. “Wahai
anakku! Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yang takwa
dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta
nasihat dari mereka.”
32. “Wahai anakku! Jangan engkau berlaku
derhaka terhadap ibu dan ayahmu dengan apa jua sekalipun, melainkan
apabila mereka menyuruhmu derhaka kepada Yang Maha Berkuasa.”
33. “Wahai anakku! Allah mewasiatkan dirimu; berbuat baiklah dengan ibu
dan ayahmu. Justeru, jangan engkau mengherdik mereka dengan perkataan
mahupun perbuatan dibenci.”
34. “Wahai anakku! Seandainya
ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang kamu lakukan, maka
marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.”
35. “Wahai anakku! Orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam
beribadat dan taat kepada Allah SWT, maka dia tawadduk kepada Allah SWT,
dia akan lebih dekat kepada Allah SWT dan selalu berusaha menghindarkan
maksiat kepada Allah SWT.”
36. “Wahai anakku! Seorang pendusta
akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang
yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal
yang tidak benar.”
37. “Wahai anakku! Andainya ada sebutir
biji sawi terpendam di dalam batu, pasti ketahuan jua oleh Tuhanmu Yang
Maha Melihat, Allah Amat Mengetahui segala sesuatu, zahir mahupun batin
atau apa yang engkau sembunyikan di dalam dadamu.”
38. “Wahai
anakku! Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu
lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu
mengerti.”
39. “Wahai anakku! Engkau telah merasakan betapa
beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan
lebih lagi daripada semua itu adalah bilamana engkau mempunyai jiran
yang jahat.”
40. “Wahai anakku! Aku pernah memindahkan
batu-bata dan memikul besi, tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang
lebih berat daripada hutang.”
41. “Wahai anakku! Jauhkan
dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh
menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.”
42. “Wahai anakku! Apakah tidak engkau perhatikan, apa yang Allah
bentangkan bagimu apa-apa yang ada di langit dan di bumi daripada
kebaikan yang amat banyak?”
43. “Wahai anakku! Apa yang engkau
menikmati di kehidupan ini lantaran kurniaan-Nya yang penuh keamanan,
keimanan dan kebaikan yang melimpah ruah, di taman dunia yang subur
mekar dengan bunga-bungaan serta tumbuhan yang berseri-seri.”
44. “Wahai anakku! Ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu.”
45. “Wahai anakku! Janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan
hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan Allah
SWT bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih
hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.”
46. “Wahai
anakku! Jangan engkau buang dunia ini ke bakul sampah kerana nanti
engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya
janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana
sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka.”
47. “Wahai anakku! Tidak ada kebaikan bagimu untuk mempelajari apa
yang belum kamu tahu sedangkan kamu belum beramal dengan apa yang kamu
tahu.”
48. “Wahai anakku! Ingatlah dua perkara iaitu Allah SWT
dan mati, lupakan dua perkara lain iaitu kebaikanmu terhadap hak dirimu
dan kebaikanmu terhadap orang lain.”
49. “Wahai anakku!
Kehinaan dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWTlebih mendekatkan diri
daripada mulia dengan maksiat (perkara menyebabkan dosa) kepada-Nya.
Janganlah anakku undurkan melakukan taubat, sebab kematian datangnya
tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih dulu.”
50. “Wahai anakku! Sesungguhnya lama bersendirian itu dapat memahami
untuk berfikirdan lama berfikir itu adalah petunjuk jalan ke syurga.”
No comments:
Post a Comment