Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul
Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar
dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan
yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu
dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut
ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.
Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan
akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi
pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang
itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian
hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini
kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah
dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).
Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan
simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari
disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.
Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan
hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan
perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan
pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan
memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang
dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ
hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).
Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar
dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan
untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak
dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan
tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang
dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang
mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian
lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.
Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak
terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk
menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru
seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar
dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia
menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh
bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang
disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak
mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan
kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar.
Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang
mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.
Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada
tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan
pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu
akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap
disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat
penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai
sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan
untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan
pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan
penyelidikan ilmu.
Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu
disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik
mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus
mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih
tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba
ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting
dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.
Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu
secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang
ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan
yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas
oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan
keupayaan mentaliti seseorang.
Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu
cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang
sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat
antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami
sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep
ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan
konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap
dan fasa yang tersusun dan terancang.
Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan
objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai
sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut
dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan
membawa kemudharatan kepada umat manusia.
Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam
menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa
seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia
yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada
Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu
yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian
daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan
sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap
sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam.
Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam
ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman
yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara
kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah
Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)
Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu
yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu
didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting
kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di
samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain
disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan
disiplin ilmu yang lain.
Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul
Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi
pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata
yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh
individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah
dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.
Read more:
http://www.ahmad-sanusi-husain.com/2012/01/10-adab-dalam-menuntut-ilmu-panduan.html#ixzz2OzlYJinI
No comments:
Post a Comment